Tuesday, July 27, 2010

SUMBANGAN KIPAS


Tuan Haji Mohamad Zainol Abidin bin Adam, Pensyarah Kanan di Sekolah Pengurusan Universiti Utara Malaysia telah sudi menyumbang sebanyak lima set kipas berdiri. Sumbangan tersebut telah disampaikan kepada Puan Hajah Rafeah binti Hashim, Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu. Sumbangan tersebut bertujuan untuk memberi keselesaan kepada calon-calon SPM menduduki peperiksaan di Dewan Bitara. Beliau merupakan waris kepada Saudari Shahirah binti Mohamad Zainol Abidin, pelajar tingkatan lima juara.

Saturday, July 17, 2010

CLOSED BADMINTON CHAMPIONSHIP





Pada 17 Julai 2010, telah berlangsung "Closed Badminton Championship" di Dewan Bitara Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu. Kejohanan ini melibatkan para guru dan staf sokongan. Penglibatan adalah menyeluruh sama ada di pihak lelaki mahupun wanita. Sepanjang kejohanan berlangsung, pelbagai aksi dan ragam sama ada oleh pemain mahupun penonton. Secara keseluruhannya bolehlah dikatakan para guru dan staf sokongan Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu mempunyai potensi besar untuk di ketengahkan. Berdasarkan kejohanan tersebut, tidaklah perlu dirisaukan jika ada perlawanan dengan mana-mana pihak kerana potensi yang ada tidak wajar dipendamkan begitu sahaja.

Berikut adalah keputusan pertandingan.
Johan Perseorangan Lelaki dimenangi oleh Encik Mohd Roshidi bin Abdul Khani setelah menewaskan jaguh yang tidak asing lagi, Tuan Haji Ismail bin Ibrahim. Manakala bagi kategori bergu, Naib Johan dimenangi oleh pasangan Encik Ahmad Shahabudin bin Ismail dan Encik Mohd Hamide setelah tewas kepada pasangan Encik Abdul Talib bin Haji Sulaiman dan Encik Wan Mohd Saifudin bin Wan Long.

Manakala bagi kategori wanita, Johan Perseorangan dimenangi oleh Puan Fauziah binti Hassan setelah berjaya mengalahkan pemain yang lebih muda, Cik Norhashimah binti Azmi. Kekalahan dalam kategori perseorangan berjaya ditebus kembali oleh Cik Norhashimah binti Azmi setelah digandingkan dengan Cik Nor Azila binti Ishak dalam acara bergu setelah mengalahkan pasangan Puan Fauziah binti Hassan dan Puan Hazilah.


Friday, July 16, 2010

VISI DAN MISI SMSKP

VISI SMSKP

Memartabatkan Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu sebagai
sekolah berasrama penuh terbilang di Malaysia
menjelang tahun 2014

MISI SMSKP

1. Meningkatkan kualiti pencapaian akademik.

2. Mencemerlangkan kokurikulum.

3. Melahirkan modal insan berakhlak mulia.

4. Meningkatkan tahap profesionalisme guru dan staf sokongan.

5. Mewujudkan iklim dan persekitaran sekolah yang kondusif.

6. Menjalinkan hubungan erat dengan ibu bapa dan komuniti.

Thursday, July 15, 2010

SEJARAH SEKOLAH


Berpaksi meneruskan agenda pembangunan pendidikan bagi rakyat Malaysia, Sektor Sekolah Berasrama Penuh (sekarang dikenali sebagai Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster) perlu menambahkan bilangan sekolah-sekolah berasrama penuh yang ketika itu berjumlah 54 buah. Bertitik tolak daripada hasrat tersebut Kementerian Pelajaran Malaysia dengan mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri Kedah untuk mendapatkan sebidang tanah bagi merealisasikan hasrat tersebut. Lanjutan daripada perbincangan yang dijalankan, akhirnya Kerajaan Negeri Kedah telah mengenalpasti satu lokasi yang strategik untuk membangunkan sebuah sekolah berasrama penuh. Bermula pada tahun 2007, sebidang tanah di Batu 19 Jalan Kodiang telah ditukarkan statusnya daripada tanah pertanian kepada pembinaan institusi pendidikan. Setelah selesai proses pengambilalihan tanah, kerja-kerja seterusnya giat dijalankan. Projek pembinaan ini telah dijalankan oleh Barad Holdings Sdn Bhd, sebuah syarikat pembinaan yang beribu pejabat di Kuala Lumpur. Akhirnya pada tanggal 11 Mac 2009, projek berkenaan telah disiapkan dan telah diserahkan kepada Kementerian Pelajaran. Pada hari tersebut, telah diadakan majlis penyerahan rasmi bertempat di Dewan Besar (sekarang dikenali sebagai Dewan Bitara). Tuan Haji Mohd Jaafar bin Mohd Ramli, Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (SMSAH) telah diberi kepercayaan mentadbir sekolah ini. Pada tanggal 1 April 2009, sekumpulan guru telah dihantar sebagai kumpulan perintis untuk merealisasikan pengoperasian sekolah ini. Akhirnya setelah beberapa kali ditangguhkan, maka pada 12 Mei 2009, kumpulan pertama pelajar telah mendaftar. Bermula dari tarikh tersebut, episod proses kemenjadian murid melangkah terus ke hadapan di atas bahu seluruh warga SEKOLAH MENENGAH SAINS KUBANG PASU.

Tuesday, July 13, 2010

PERMATA SM SAINS KUBANG PASU





Setelah tiga hari berlalu Karnival Permainan Tertutup Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu, maka terpancarlah permata-permata yang bakal menyinari persada pertandingan pada tahun hadapan. Semoga kelahiran mereka akan meledakkan nama Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu sehingga ke peringkat antarabangsa.

Saturday, July 10, 2010

LEMBAGA PENGAWAS SMSKP 2010/11


Tahniah diucapkan kepada kepimpinan baru Lembaga Pengawas Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu bagi sesi 2010/11. Semoga pelantikan kepimpinan baru ini akan terus mencorakkan kegemilangan selaraskan dengan visi dan misi yang telah digarapkan. Kepada semua warga Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu, berilah peluang kepada barisan pemimpin muda ini membuktikan komitmen dan kemampuan mereka.

KARNIVAL PERMAINAN TERTUTUP SMSKP 2010

Mulai 11 hingga 14 Julai 2010, Unit Sukan Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu akan menganjurkan Karnival Permainan buat julung kalinya. Penganjuran ini diadakan bersama-sama semua Rumah Sukan. Antara permainan yang dijalankan ialah :

  • Bola Tampar
  • Bola Jaring
  • Bola Sepak 9 Sebelah
  • Badminton
  • Sepak Takraw
Kepada semua pasukan selamat bertanding dan kekalkan semangat kesukanan yang tinggi.